Apa itu Takaful?

Takaful adalah perkongsian risiko.

Misalnya kos menguruskan satu jenazah adalah RM4,000. Ada keluarga yang tidak bersedia dengan dana kecemasan sebanyak itu.

Jadi dalam sebuah taman perumahan, mereka buat satu tabung yang dipanggil tabung khairat kematian.

Tabung ini biasanya diuruskan oleh pihak surau atau masjid.

Katakan dalam taman itu ada 100 penduduk Islam. Kadar kematian pula biasanya dalam setahun ada satu, kadang-kadang dalam setahun tidak kedengaran berita orang meninggal dunia.

Jadi mereka berpakat masing-masing membayar caruman RM40 seorang. Duit dari tabung khairat itu diharap mampu menampung manfaat sekiranya ada satu kematian berlaku dalam satu-satu tahun.

Sekiranya ada ahli kariah yang meninggal dunia, maka ahli keluarganya akan menerima sejumlah manfaat yang diambil menggunakan duit dari tabung tadi.

Dapatlah keluarganya menampung kos pengurusan jenazah. Mungkin juga ada lebihan untuk duit belanja dapur buat sebulan dua.

Inilah kita panggil perkongsian risiko. Setiap ahli berpakat untuk berkongsi risiko mengikut manfaat yang ingin diterima.

Praktis dalam industri takaful

Konsep yang sama dipraktikkan dalam takaful, diuruskan dengan lebih sistematik dan jumlah caruman yang dibayar ditentukan oleh aktuari.

Caruman yang kita bayar akan dimasukkan dalam tabung tabarru’ (tabung derma). Duit dalam tabung tabarru’ ini yang digunakan untuk membayar manfaat sekiranya ada ahli yang ditimpa musibah.

Bukan semua risiko kewangan dapat diselesaikan dengan produk takaful, ia bergantung kepada manfaat apa yang kita pilih.

Ada banyak produk takaful, dalam Takaful Keluarga sahaja ada banyak rider yang kita boleh pilih.

(Boleh link ke artikel Takaful Apa Yang Perlu Saya Ambil?)

“Syarikat takaful lah paling untung kalau tidak ramai orang meninggal dunia atau claim sakit kritikal kan?”

Kenyataan ini betul untuk syarikat insurans, tetapi tidak untuk syarikat takaful.

Syarikat takaful hanya berperanan sebagai pengendali sahaja. Mereka tidak boleh mengambil duit dalam tabung tabarru’ tadi.

Kebiasaan praktis yang dilakukan, syarikat takaful mengambil kos upah pengurusan. Jumlah duit yang kita bayar itu adalah bayaran untuk:

  1. Tabung tabarru’
  2. Kos pengurusan syarikat

“Kenapa makin berusia, caruman makin mahal?”

Kita tidak tahu bila ajal kita datang.

Tetapi kita tahu mereka yang berusia 50 tahun lebih besar risiko untuk meninggal dunia berbanding orang yang berusia 20 tahun.

Risiko setiap individu tidak sama.

Ia dinilai berdasarkan umur, pekerjaan, jantina dan juga sejarah penyakit individu tersebut atau keluarganya.

Leave a Comment