Apakah sebenarnya fungsi takaful?

Soalan paling kerap diajukan kepada saya, “Tuan punya produk takaful ada investment tak?”

Serba salah mahu menjawab ‘Ya’ secara terus. Takut kefahaman yang bertanya terhadap perkara ini salah.

Jadi saya ambil masa untuk terangkan.

Hampir semua syarikat takaful ada produk investment-linked. Jadi sudah tentu sebagai ejen, saya boleh jawab terus, “Ya, ada.”

Apa Yang Klien Harapkan Bila Sebut Investment?

Tetapi bila bakal klien bertanya soalan itu apa sebenarnya yang bermain di fikiran mereka?

Dalam produk investment-linked akan ada ‘simpanan’ atau perkataan yang lebih tepat ialah “cash value” atau nilai tunai.

Jangan samakannya dengan simpanan anda di bank.

Pasti akan ada agen yang beritahu, “Tuan hanya perlu bayar takaful setiap bulan dan tuan akan dapat perlindungan, simpanan dan pelaburan.”

Kemudian si pencarum pun dengan rileksnya tidak membuat sebarang simpanan peribadi di bank. Pelaburan sendiri pun tak buat kerana menyangka takaful sudah setelkan semuanya.

Mindset ini perlu dibetulkan.

Malah bahaya jika kita menganggap fungsi takaful sebagai pelaburan.

BNM (Bank Negara Malaysia) sendiri kata, takaful sebagai perlindungan bukan sebagai pelaburan.

apa itu hibah takaful bukan pelaburan

Kes Mencarum RM500 Setiap Bulan Tetapi ‘Simpanan’ Ciput Sahaja

Saya pernah bertemu pencarum takaful yang sudah lebih 5 tahun mencarum dengan jumlah carumah hampir RM500 sebulan.

Diajnjikan akan ada saving sekian-sekian.

Bila dia check dengan syarikat takaful, jumlah tabungannya hanya ada sedikit sahaja. Lalu dia kecewa dan rasa dipermainkan oleh syarikat takaful.

Jadi Apa Fungsi Investment Dalam Produk Takaful?

Pertama, kita perlu tahu bagi polisi takaful investment-link, bayaran premium sentiasa meningkat mengikut tahun dan keadaan semasa.

Jadi dengan adanya fungsi tabungan dalam polisi kita, ia boleh menampung kenaikan tersebut.

Kerana itu ada agen yang berani kata jumlah yang kita carum waktu muda akan kekal sehingga tua. TETAPI, ini juga mindset yang salah.

Andai kata jumlah tabungan kita berkurangan dan tidak cukup untuk menampung bayaran premium semasa, maka pihak syarikat takaful akan minta untuk dinaikkan bayaran caruman bulanan.

Kedua, tabungan itu berfungsi sebagai backup seandainya berbulan-bulan kita tiada duit untuk bayar takaful.

Ini pun dengan syarat duit dalam tabungan itu cukup banyak untuk membayar bulan-bulan yang kita tidak mampu bayar.

Sekiranya tidak, polisi kita tetap akan luput (lapse).

Apa Fungsi Sebenar Kita Ambil Takaful?

Kita ambil takaful kerana mahukan perlindungan kepada kewangan jika berlaku perkara luar jangka.

Secara asas kita ambil produk takaful hayat untuk melindungi 3 perkara berikut:

  1. Kematian
  2. Lumpuh
  3. Sakit kritikal (optional)

3 perkara ini saya sebut luar jangka sebab kita tidak tahu bila kita ditimpa musibah.

Kita bayangkan satu situasi kita eksiden dan menyebabkan lumpuh tidak mampu bekerja. Bila kita tidak mampu bekerja, maka gaji atau pendapatan pun hilang.

Perbelanjaan bulanan seisi keluarga kita siapa yang mahu tanggung?

“Baik saya simpan di bank sahaja duit, tak perlu pakai takaful.”

Ya, saya memang akan mencadangkan tuan simpan dalam bank. Jangan ‘menyimpan’ dalam takaful.

Malah simpanan adalah asas paling penting dalam perancangan kewangan sebelum kita berniat mahu buat pelaburan atau ambil takaful.

Cuma carum sebahagian sahaja gaji dalam takaful.

Kerana kita tidak tahu bila kita eksiden.

Takut belum sempat simpanan dalam bank kita cukup, tetapi sudah ditimpa musibah.

Berapa banyak kita perlu mencarum dalam takaful saya ada terangkan dalam artikel Cara Kira Jumlah Pampasan Takaful Yang Perlu Diambil.

Leave a Comment