Kenapa Insurans Haram?

Ada satu hari dalam bulan lepas, saya dapat panggilan telefon daripada syarikat insurans. Dahlah waktu hendak parking kereta dia call.

Saya layankan saja la.

Biasa kalau nak elak atau habiskan cepat panggilan, kita tanya dia dapat nombor daripada mana. Tapi ini pun mereka sudah ada skrip untuk jawab.

Jawapan paling mudah yang mereka berikan adalah dapat no telefon kita dari bank.

Jadi aku saja buat ayat yang lebih menyebabkan mereka akan potong terus nama aku daripada senarai cold call mereka.

“Cik puan tahu tak insurans ini haram!”

Rupanya ini pun dia sudah ada skrip untuk jawab. Fehhh!

“Encik rasa insurans ini haram sebab ada unsur gharar, encik tak tahu ke mana duit dilaburkan kan? Insurans kami ini kami pilih dana-dana yang islamik.”

“Cik puan, sebab utama insurans haram bukan itu….” aku baru hendak menyambung ayat terus dipotongnya.

“Ustaz pun ada yang masuk. Hari itu ada pegawai JAKIM yang saya call pun ambil.”

Aduhh… Jem kepala otak petang.

Andai kata peristiwa ini berlaku minggu ini, aku boleh jawab, “Finalis Da’i pun kata insurans harus. Live pula itu. Tapi jawapan itu SALAH! Juri pun cakap salah!”

Aku rasa macam nak terangkan pasal riba’ al-Fadhl dalam insurans. Tapi duk fikir ayat paling mudah nak terangkan pada orang yang memang tujuan dia call adalah untuk menjual.

Pertukaran tidak sama nilai

Aku pun buat ayat begini, “Cik puan, insurans jadi haram kerana ada unsur riba. Contohnya begini, saya bayar RM100 sebulan untuk dapatkan perlindungan RM100,000 jika berlaku kematian. Pertukaran ini tidak sama nilai.

Begitu juga dengan jual beli emas. Pertukaran yang dibuat mestilah sama nilai….”

Tak sempat aku teruskan pasal riba satu lagi, penjual insurans itu pun potong balik, “Takaful pun sama encik…”

Takaful guna konsep tabarru’

Dia main potong-potong cakap aku, aku pun potong balik ayat dia, “Ini yang membezakan takaful dengan insurans. Takaful gunakan prinsip tabarru’ iaitu kerjasama atau sedekah antara sesama ahli yang mencarum.

Kalau insurans, jika tidak berlaku musibah, bayaran premium akan jadi keuntungan syarikat, dalam takaful ia akan disimpan dalam satu tabung khas yang bukannya milik syarikat.”

Nampak beza jika tidak berlaku musibah:

  1. Insurans – bayaran premium jadi keuntungan syarikat
  2. Takaful – duit dalam tabung tabarru’ tetap dalam tabung sebab ia bukan milik syarikat takaful.

Dia potong lagi, “Tapi, ada pegawai agamaaa….”

Aku potong terus, “Inilah kemungkaran dalam komunikasi kita. Cik puan bukan nak terima kebenaran tetapi mahu menjual kejar KPI.”

Teettt… Dia pun tutup perbualan.

Leave a Comment