Perlukah Ambil Takaful Pendidikan?

Perlukah Ambil Takaful Pendidikan?

Ada seorang klien datang kepada saya bertanya “Saya belum ambil takaful lagi untuk anak, rasanya nak ambil takaful pendidikan untuk dia.”

Jawapan kepada soalan ini perlu diteliti betul-betul. Lebih-lebih sekiranya ibu bapa itu sendiri belum ambil sebarang takaful untuk diri sendiri.

Tujuan kita ambil takaful pendidikan ada dua:

  1. Tabungan/simpanan agar bila dewasa nanti ada duit untuk anak itu sambung belajar.
  2. Dapat perlindungan life coverage sekiranya anak itu mati atau lumpuh.

Hampir semua syarikat takaful menawarkan produk takaful pendidikan. Cuma lain syarikat mungkin lain sedikit tambahan manfaat dalam pakej takaful pendidikan mereka.

Sekiranya anda mahu ambil takaful pendidikan, pastikan betul-betul apa yang anda bakal dapat.

Pandangan peribadi saya mengenai takaful pendidikan

Mungkin ramai agen tidak bersetuju dengan pandangan saya mengenai takaful pendidikan.

Ada juga ibu bapa yang sedang mula mencari-cari takaful pendidikan terbaik untuk anak mereka.

Ini pandangan peribadi saya.

Saya ulang ayat ini.

Fungsi takaful adalah untuk memberi perlindungan terhadap kewangan.

Adakah sekiranya anak kita meninggal dunia, ia menyebabkan kewangan kita terjejas? Atau gaji kita berkurang?

“Tapi kalau ambil takaful pendidikan dalam masa sama masih dapat menabung untuk masuk universiti.”

Tidak dinafikan dalam mana-mana produk takaful sekarang ada fungsi pelaburan.

Dan saya juga tidak menafikan kepakaran ahli-ahli pelaburan yang dilantik oleh setiap syarikat takaful.

Cuma cuba kira berapa daripada caruman bulanan untuk takaful pendidikan itu yang betul-betul masuk ke dalam tabung cash value (nilai dana) atau yang disebut tabung pendidikan itu?

Jika kita mencarum RM50 sebulan, berapa daripada amaun itu yang dimasukkan ke dalam tabung? Dan berapa pula yang digunakan untuk membayar caruman pelan asas bagi Death/TPD dan sakit kritikal?

Bandingkan pula dengan sekiranya RM50 itu kita masukkan setiap bulan terus ke dalam alat pelaburan khusus seperti Unit Trust atau sekurangnya Tabung Haji.

“Tapi kalau masuk unit trust tidak dapat pampasan jika berlaku kematian?”

Kita mahu buat duit daripada kematian anak atau betul-betul mahu melabur untuk pendidikan dia?

Jika betul sayangkan anak, yang lebih patut ambil life takaful adalah diri kita sendiri sebagai ibu bapa.

Sekiranya sesuatu berlaku kepada kita, maka anak isteri akan hilang tempat bergantung.

Sekiranya ada lebihan bajet dalam kewangan bulanan kita, boleh tambah polisi medical card untuk anak.

Alternatif kepada takaful pendidikan

Ada beberapa cadangan alternatif bagi yang tidak mahu ambil takaful pendidikan.

Pertama sekali tetapkan bajet berapa untuk seorang anak. Katakanlah RM100 sebulan kita mahu mencarum untuk simpanan masa depan anak.

Kedua, tanya kepada diri sendiri, “Sekiranya anak aku mati atau lumpuh adakah ia memberi kesan kepada kewangan rumah?”

Sekiranya ya, boleh ambil produk SSPN-i Plus. SSPN-i Plus ini merupakan produk bawah PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).

Mereka ada pakej serendah RM30 sebulan. Dan beza antara sumbangan yang masuk tabung simpanan dengan yang masuk ke dalam caruman takaful jelas dinyatakan di situ.

SSPN-i Plus takaful pendidikan

Selain daripada ini boleh juga ambil personal accident sahaja untuk anak melalui ejen takaful. Dan tambah simpanan lebih ke dalam Tabung Haji atau ASB.

Leave a Comment